Mutakhir ini, kewartawanan dalam talian internet menjadi medan kepada masyarakat umum untuk berkongsi berita mahupun isu-isu terkini mengenai sosial,politik,ekonomi,hiburan mahupun isu-isu global. Secara amnya, kewartawanan dalam talian internet disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti ahli politik, ahli perniagaan, pakar ekonomi, pendidik, pelajar-pelajar sekolah dan individu-individu yang berminat dalam bidang ini. Sebagai contoh, kita boleh mengakses bahan berita atau isu-isu terkini di dalam internet dengan hanya menaip kata kunci yang berkenaan pada enjin pencarian tertentu. Dengan cara ini, pengguna internet dengan mudah dapat membaca berita mahupun isu di dalam lelaman sesawang. Sebagai bukti, laman blog seperti ‘blogspot’ dan ‘Xanga’ disertai oleh mereka yang berminat untuk mengongsikan berita di dalam internet dengan cara memuat naik penulisan asli mereka sendiri, mahupun yang diciplak.
Memandangkan kewartawanan dalam talian tidak mempunyai garis panduan yang termaktub dalam undang-undang, maka kewartawanan dalam talian internet terus membiak dengan pantas seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kewartawanan dalam talian internet mula mendominasi kehidupan sebahagian masyarakat kita. Dengan adanya kewartawanan dalam talian internet, masyarakat bebas untuk memuat naik, memberi komen, berkongsi idea, meluahkan ketidak puasan hati dan menyatakan pandangan mereka dengan mudah. Ini menjadi pemangkin utama sebahagian masyarakat kita selesa dan gemar menggunakan kewartawanan dalam talian internet.
Walau bagaimanapun, kewartawanan dalam talian internet bukanlah satu wahana yang mempunyai kredibiliti yang baik jika dibandingkan dengan akhbar arus perdana. Sebenarnya, berita mahupun isu yang disiarkan di dalam internet adalah goyah dan pincang kerana bertunjangkan sumber yang diragui kesahihannya. Sebagai contoh, sesetengah artis menjadi mangsa bahan seksual kepada individu yang tidak bertanggungjawab. Terdapat gambar-gambar mereka yang berunsurkan lucah disebarkan di dalam internet. Hal ini secara tidak langsung akan menjatuhkan air muka artis tersebut walaupun gambar yang disiarkan bukan fakta kerana terdapat sesetengah individu yang dengan mudah mempercayai akan kesahihan gambar-gambar tersebut. Secara tidak langsung, kewartawanan dalam talian memberi laluan mudah kepada manusia yang tidak beretika ini untuk menjayakan sikap hasad dengkinya dan sekaligus menimbulkan masalah kepada ramai pihak.
Dalam nada yang serupa, kewartawanan dalam talian acap kali menyediakan maklumat yang palsu kepada pembaca. Dengan tidak memiliki latar belakang yang berkaitan kewartawanan, keghairahan mengejar wang ringgit menjadi kiblat manusia tidak beretika ini. Terdapat kemungkinan mereka disogok dengan wang ringgit sehingga sanggup mengenengahkan isu-isu yang hangat tetapi palsu. Sebagai contoh, gambar pemimpin negara kita, pernah disiarkan di dalam internet digandingkan dengan seorang model dari Mongolia sedangkan gambar itu adalah gambar yang disunting dan ternyata palsu.
Tuntasnya, kewartawanan dalam talian internet mempunyai kredibiliti yang kurang berbanding akhbar arus perdana kerana unsur bahasa yang diaplikasikan di dalam internet adalah kurang baik. Bahasa yang digunakan adalah menggunakan bahasa-bahasa yang singkat, bahasa slanga, kesalahan ejaan serta struktur ayat yang tidak menepati hukum Bahasa Melayu. Ironisnya, penggunaan bahasa yang salah akan menyebabkan para pembaca terpengaruh dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Lebih buruk lagi, apabila penggunaan bahasa yang salah ini digunakan oleh generasi muda dan melenyapkan martabat bahasa rasmi negara kita.
Sehubungan dengan itu, kita tidak harus melupakan akhbar arus perdana yang masih menjadi sumber utama kepada berita dalam negara mahupun globalisasi. Sudah tentu akhbar arus perdana dikendalikan oleh mereka yang profesional di dalam bidang kewartawanan. Mereka telah menggalas peranan sebagai wartawan yang dipilih secara rasmi oleh pihak yang bertanggungjawab serta mengetahui cara yang betul, sumber yang jelas, tepat dan terkini untuk dijadikan bahan berita dalam akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian. Intihanya, akhbar arus perdana tidak mementingkan sensasi sesebuah berita namun kebenaran dalam melaporkan berita serta memberi maklumat yang bernas kepada manusia sejagat.
Konklusinya, sebagai masyarakat yang prihatin, setiap tindakan kita hendaklah berlandaskan pertimbangan akal yang waras supaya tidak terus dimomokkan dengan arus modenisasi internet semata-mata. Kebijaksanaan menilai berita dalam talian internet mampu menghakis unsur-unsur negatif yang harus dibuang jauh daripada kehidupan bersesuaian dengan pepatah Melayu iaitu “ buang yang keruh, ambil yang jernih”.
No comments:
Post a Comment