Monday, March 8, 2010

REVIEW NIYANG RAPIK




Pada 5 Mac yang lalu, Kirana menonton filem genre seram berjudul Niyang Rapik di The Curve, Damansara. Filem bergenre seram yang ditayangkan bermula pada 25 Februari yang lalu durasi tayangannya ialah 1 jam 20 minit.

Dengan menggunakan tajuk yang hampir serupa seperti drama bersiri yang pernah disiarkan di TV3 dalam slot Seram, namun filem Niyang Rapik ini bukanlah kesinambungan drama bersiri tersebut. Niyang Rapik merupakan sebuah nama tempat yang digambarkan dalam filem ini.

Filem sentuhan Ahmad Idham ini menampilkan himpunan barisan pelakon handalan seperti Fizz Fairuz, Zed Zaidi, Awal Ashaari, Shaheizy Sam, Dian P. Ramlee, Liyana Jasmay, Nasir Bilal Khan serta memperkenalkan Kamal Adli selaku pendatang baru di dalam layar perak.

Pada pandangan Kirana, kekuatan cerita ini terletak pada barisan pelakon yang ditampilkan oleh Ahmad Idham. Rata-rata pelakonnya merupakan pelakon terkenal dan mempunyai ramai peminat. Dari sudut penceritaan, cerita ini banyak menggunakan teknik imbas kembali kerana bersesuaian dengan tragedi yang berlaku dalam cerita ini. Plot yang digunakan oleh Ahmad Idham ternyata ringkas dan diselitkan sedikit unsur suspen.

Tambahan lagi, latar tempat di dalam cerita ini iaitu di salah sebuah tasik di Terengganu berjaya memikat hati Kirana kerana keindahan alam semula jadi yang ditonjolkan terdapat di negara kita. Walau bagaimanapun, filem ini mempunyai mesej yang tersendiri iaitu kita hendaklah fikir dengan sewarasnya sebelum membuat sesuatu tindakan, bukan dengan mengambil keputusan yang melulu.